Awal Muharram

7:12 PTG

Salamku kepada teman2 blog.

Semalam kita umat Islam menyambut kedatangan bulan Muharram. Apa maksudnya Muharram itu kepada kita dan apa yang kita faham tentang kehadirannya. Adakah kita hanya faham bila bulan Muharram tiba, kita akan bercuti umum untuk seluruh negara. Apakah itu yang kita faham selama ini?

Setiap kali kedatangan Bulan Muharram yang merupakan bulan pertama mengikut kiraan tahun Hijriyyah, maka umat Islam di seluruh dunia tentunya akan mengingati kembali peristiwa Hijratul Rasul bersama para sahabatnya dari Kota Mekah ke Kota Madinah dengan tujuan untuk menyebar luaskan ajaran Islam sebagai agama anutan sejagat yang berasaskan akidah 'mentauhidkan Allah s. w. t.', serta nilai-nilai ketinggian Islam dalam kehidupan sejagat. Itulah pengertiannya yang perlu kita faham dan mudah mudahan dengan kedatangan tahun baru hjrah ini akan memberi sinaran baru bagi kita umat Islam dalam usaha mencerna berbagai kejayaan melalui bidang-bidang yang diusahakan sama ada yang berkaitan dengan kehidupan di dunia, mahu pun kehidupan di akhirat.

Apa yang perlu kita faham tentang hijrah adalah berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Selain itu, hijrah juga bermakna berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Justeru, hijrah juga boleh difahamkan sebagai meninggalkan sesuatu yang dilarang. Dalam konteks lebih luas, hijrah boleh difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Misalnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar. Manakala dalam konteks masyarakat dan ummah pula, peristiwa hijrah Rasullullah s.a.w. dengan sahabat-sahabatnya dari kota Mekah ke kota Madinah merupakan peristiwa yang sangat penting kepada umat Islam seluruh dunia, dan peristiwa ini sering diperingati pada setiap tahun.


Hijrahnya Rasullullah s.a.w. dan para sahabat dengan segala pengorbanan dan kesusahan, adalah semata-mata kerana menyahut seruan Allah bagi meninggalkan buat sementara negeri Mekah yang ketika itu dipenuhi dengan kekufuran dan kesyirikan. Mereka menuju ke kota Madinah untuk mendirikan sebuah masyarakat yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam menurut ajaran Allah dan Rasul-Nya.




Justeru itu, peristiwa hijrah adalah peristiwa yang amat penting dalam sejarah Islam dalam konteks mendirikan sebuah masyarakat Islam di Madinah. Oleh sebab itu, hijrah merupakan kewajipan utama yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam ketika itu, kerana tanpa hijrah tersebut masyarakat Islam tidak dapat dibentuk. Dalam berhijrah, terkandung tiga perkara yang tidak boleh dipisahkan, iaitu Iman, Hijrah dan Jihad.




Iman menjadi titik tolak untuk berhijrah. Hijrah pula merupakan suatu ujian kepada kekuatan iman, yang kelak akan menghasilkan jihad ke jalan Allah, dan menerusi jihad pula akan menjamin kejayaan di dalam perjuangan menegakkan masyarakat Islam. Ketiga-tiga rangkaian inilah yang telah disebutkan oleh Allah dalam surah al-Taubah ayat 20 yang berbunyi:




الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ


Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (yakni daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang-orang memakmurkan masjid sahaja), dan mereka itulah orang-orang yang berjaya".




Sedikit petikan dari : Ustaz Haji Mohd. Nawi Bin Haji Ismail

 
Dengan kehadiran Maa Hijrah untuk tahun ini, adakah kita dan keluarga kita mahupun kawan2 kita sudah bertekad untuk berubah? Berubahlah wahai kawanku2 daripada perlakuan yang buruk kepada perlakuan yang baik dan bertekadlah untuk mempertahankan akidah kita serta jadilah umat islam yang berjaya didunia maupun di akhirat. Tahukah kita! Allah memberikan Islam sebagai Addin yang mengatur keindahan hidup, yang sewajarnya menjadi contoh ikutan, di samping tamadun Islam masa lalu, yang sewajarnya menjadi rujukan.


Itulah serba sedikit tazkirah ringkas mengenai sambutan Maa Hijrah untuk renungan kita bersama...segala yang baik datangnya Allah yang buruk dari kita sendiri.


Wassalam


























You Might Also Like

0 ulasan

SUBSCRIBE

Like us on Facebook