Tazkirah RIngkas

6:55 PTG

Assalamualaikum.
 
Sudah agak lama saya menyepi dari coretan di blog Teratak Desa. Komitmen terhadap tugas dan keluarga membataskan saya untuk mencoretkan sesuatu di blog ini.
 
Tidak terlambat untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kelahiran Rasulullah S.A.W. Semoga kita sebagai umatnya akan terus meningkatkan keimanan dan sentiasa menjunjung sunnahnya.
 
Sentiasalah berdoa agar kita adalah antara orang2 terpilih yang akan bertemu beliau di syurga Allah di akhirat nanti InsyaAllah. Saya terpanggil untuk menitipkan tazkirah ringkas mengenai Rasulullah yang terlalu sayang akan umatnya hinggakan pada akhir hayat baginda tidak  lekang dari bibir baginda menyebut umatku, umatku, umatku.
 
Petikan dari  iIuvislam.com
 
"Meneliti khutbah terakhir sebelum berakhirnya usia baginda menyedarkan kita betapa kasihnya baginda terhadap kita semua sehingga menitis air mata Abu Bakar kerana beliau mengetahui bahawa Rasulullah SAW bakal meninggalkan umatnya. Pengisian khutbah terakhir baginda banyak mengandungi nasihat untuk sekalian manusia menandakan bimbangnya baginda terhadap umat Islam yang bakal ditinggalkan. Tiada apa yang lebih dikhuatiri baginda selain akidah umatnya sehinggakan pada akhir hayat baginda, tidak lekang di bibir baginda menyebut umatku, umatku, umatku.
 
Betapa kasih dan cintanya baginda Nabi Muhammad kepada kita. Tanyalah diri kita apa yang telah kita lakukan untuk membuktikan kecintaan kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW? Ayuhlah kita menjadi umat kesayangan baginda dengan mencontohi keperibadian baginda yang begitu indah dan mengenang kembali segala jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh baginda kerana tanpa rindu dan cinta baginda SAW kepada kita semua, tidak mungkin kita dapat mengecapi nikmat terbesar yang Allah SWT sediakan kepada kita iaitu Iman dan Islam.
 
Dalam meniti kehidupan di dunia, kita hendaklah mencontohi keunggulan akhlak junjungan besar kita, Rasulullah SAW yang berpandukan syariat Islam. Ketika Siti Aisyah ditanya oleh para sahabat tentang akhlak Rasulullah SAW, beliau menjawab dengan singkat: “Akhlak Rasulullah SAW adalah Al-Qur’an.” Hal ini kerana akhlak baginda adalah pancaran daripada nilai-nilai Al-Quran. Oleh itu, kita diseru untuk menghayati kehidupannya, pengajarannya dan menerapkannya dalam kehidupan seharian kita kerana Rasulullah merupakan contoh teladan yang terbaik sepanjang zaman.
 
Sesungguhnya orang yang mencintai Rasulullah dan selalu berselawat kepadanya akan menjadi orang yang paling dicintai baginda dan menduduki tempat yang hampir dengannya pada hari akhirat nanti. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang lebih hampir kepadaku dari kalangan kamu pada hari kiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku di dunia.” (Hadis riwayat Anas RA)
 
 
Semoga kita semua dalam perliharaan Allah dan akan mendapat shufaat dari Rasullulah di sana nanti.

You Might Also Like

0 ulasan

SUBSCRIBE

Like us on Facebook